fb fb fb fb fb

Banjir Perak: Bilangan penduduk terjejas banjir berkurangan, dua PPS ditutup

Foto APM

IPOH, 18 Mei - Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak berkurangan sedikit kepada 529 orang berbanding 560 orang setakat pukul 8.00 malam semalam.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, dua Pusat Pemindahan Sementara (PSS) telah ditutup manakala 10 PSS masih beroperasi, melibatkan tiga daerah terjejas.

"Di Hilir Perak, Dewan Serbaguna Padang Tembak masih menempatkan 48 penduduk terjejas daripada 13 buah keluarga. Manakala di Kuala Kangsar 42 penduduk yang terjejas ditempatkan di SK Periang, 21 penduduk di SK Temong, 28 penduduk di SK Clifford dan 40 penduduk di Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid," kata Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri.

Sementara itu lima PSS masih dibuka di daerah Taiping dengan menempatkan 224 penduduk daripada 66 keluarga di SK Temerlok, antara yang tertinggi setakat ini.

"Selebihnya 34 penduduk dari 10 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Baru Trong, SK Matang dengan 22 penduduk terjejas, Dewan Orang Ramai Batu Hampar Trong dengan 17 penduduk dan terakhir SK Matang Gelugor dengan 53 penduduk dari 16 keluarga," menurut sekretariat itu.

Dalam pada itu, PSS Masjid Al-Wusta Batu 8 ditutup secara rasmi pukul 10.00 malam pada Jumaat manakala PSS Dewan Orang Ramai Jebong Kiri dipindahkan ke PPS SK Matang.

TETITIA YUSOFF