fb fb fb fb fb

'Banjir je tutup kedai...' - Peniaga mengeluh alami kerugian ribuan ringgit

Medan selera di Pusat Bandar Kota Tinggi, Johor Bahru dinaiki air

JOHOR BAHRU, 11 Januari - Setiap kali berlakunya musim monsun, kira-kira 300 pemilik kedai di Pusat Bandar Kota Tinggi di sini, akan berdepan kebimbangan kerana terpaksa menanggung kerugian apabila premis perniagaan mereka dinaiki air.

Ramai peniaga yang terjejas banjir di kawasan itu tidak dapat meneruskan perniagaan mereka dalam masa terdekat kerana dikhuatiri bencana yang sama akan berulang kembali.

Rata-rata mereka berniaga di medan selera, tekstil pakaian dan juga perabot.

Radin Haslinah yang merupakan pengusaha kedai makan berkata tahun ini sahaja dia mengalami kerugian anggaran RM8,000.

Situasi itu juga memaksa dia menutup kedai makannya buat sementara waktu dalam tempoh seminggu ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang terjejas banjir Asarin Ahmad Darin, pengusaha keropok lekor berkata banyak barangan jualannya rosak dan air naik secara mendadak.

"Saya sempat menyelamatkan balang air dan beberapa barang masak. Tapi barang-barang lain tak sempat, air naik dengan cepat, selesai sahaja saya solat dan toleh ke belakang, saya tengok air dah paras buku lali, " katanya ketika ditemui RTM di premis kedainya di sini.

Kwee Gheng Kwee Wong yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata akan memanfaatkan peluang yang ada apabila keadaan sudah surut dengan membersihkan kedai serta menggantikan semula barang yang rosak.

Hujan lebat berterusan serta pertembungan air pasang di sepanjang jajaran Sungai Johor, Kota Tinggi akan mengakibatkan bandar tersebut dinaiki air.

Ini menyebabkan peniaga serta penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di kawasan itu akan berpindah berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

GRACE AISYAH KEDAYAN