IPOH, 5 Oktober- Jumlah penduduk terjejas akibat banjir di Perak kekal seramai 121 orang daripada 36 keluarga setakat pada pukul 12.00 tengah hari tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di dua daerah yang terlibat.
"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di daerah Kerian terus menempatkan 39 penduduk daripada 11 keluarga. Ia (banjir) melibatkan penduduk Kampung Matang Tengah.
"Di Taiping, dua PPS masih dibuka, iaitu SK Matang Gelugor dengan 67 penduduk daripada 19 keluarga terjejas, manakala di PPS SK Matang menempatkan 15 penduduk daripada enam keluarga," menurut kenyataan itu.