fb fb fb fb fb

Banjir di Pahang, Terengganu: Jumlah penduduk terjejas terus berkurangan

Banjir di Pahang, Terengganu, jumlah penduduk terjejas terus berkurangan / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Situasi banjir di Pahang dan Terengganu semakin surut dengan bilangan penduduk terjejas banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri berkenaan semakin menurun.

Di PAHANG, jumlah penduduk terjejas banjir terus berkurangan kepada 4,873 orang daripada 1,655 keluarga di 41 PPS setakat 8.20 pagi ini berbanding 7,004 orang daripada 2,373 keluarga di 64 PPS petang semalam.

Menerusi aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuantan masih merekodkan bilangan penduduk terjejas tertinggi, iaitu 4,127 orang di 23 PPS, diikuti Pekan (456 orang di enam PPS), Jerantut (86 orang di empat PPS), Bera (68 orang di tiga PPS), Temerloh (59 orang di tiga PPS), Rompin (42 orang di satu PPS) dan Maran (35 orang di satu PPS).

Di TERENGGANU jumlah penduduk terjejas banjir di daerah Kemaman menurun kepada 921 orang daripada 246 keluarga setakat 9 pagi ini, berbanding 929 orang daripada 245 keluarga petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, semua penduduk terjejas banjir di daerah Kemaman berlindung di tiga PPS, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, SK Binjai dan SK Chukai.

Sementara itu, berdasarkan laman web publicinfobanjir.water.gov.my paras sungai di dua stesen di Setiu, iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit, dan Sungai Nerus di Kampung Bukit (F1) melepasi tahap berjaga-jaga.-BERNAMA

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN