Banjir di Manjoi: PM hulur sumbangan, doa keadaan kembali pulih

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Kerajaan memberi perhatian serius terhadap situasi banjir yang melanda Manjoi dengan penyaluran bantuan segera kepada keluarga terjejas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan salur bantuan segera kepada keluarga terjejas banjir di Manjoi.
  • Perdana Menteri memantau keadaan secara berterusan dan bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan.
  • Harapan agar banjir reda segera supaya penduduk dapat kembali menjalani rutin harian.

Beliau memaklumkan telah menerima laporan secara berterusan sejak semalam berhubung perkembangan terkini bencana tersebut.

Bantuan segera turut disalurkan bagi meringankan beban penduduk yang terjejas akibat musibah berkenaan.

“Situasi banjir di Manjoi begitu memprihatinkan. Sejak semalam saya telah menerima laporan secara berterusan dan telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga yang terjejas akibat dari musibah banjir ini,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau akan terus memantau keadaan semasa serta berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau turut menzahirkan harapan agar banjir tersebut segera reda dan penduduk yang terjejas dapat kembali menjalani rutin harian seperti biasa.

Setakat ini, sebanyak 26 penduduk terjejas ditempatkan sementara di Masjid Al-Ghufron, Manjoi selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein malam tadi.