KUALA LUMPUR, 3 Januari- Keadaan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya dengan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Pasir Mas ditutup pada pukul 4.00 tadi.
Sebelum ini PPS itu menempatkan 26 penduduk terjejas banjir daripada tujuh keluarga.
Sementara itu menurut laporan terkini situasi banjir di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menunjukkan hanya satu PPS yang masih aktif iaitu di Maran, Pahang.
PPS itu kekal menempatkan tujuh individu daripada dua keluarga.
Dalam perkembangan lain, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Arau, Perlis menunjukkan trend meningkat, dan Sungai Pulai di Johor Bahru, Johor (trend menurun).
Bagaimanapun 18 jalan masih ditutup akibat banjir, cerun runtuh dan kerosakan antaranya melibatkan Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Sungai Sam ke Dabong di Jeli, Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak dan Jalan Kota Tinggi-Kluang di Johor.