KUALA LUMPUR, 30 November – Cuti anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibekukan bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat penduduk terjejas banjir.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata langkah itu diambil untuk memastikan semua pasukan bersiap sedia dalam membantu penduduk yang terjejas.
Selain itu, beliau turut memaklumkan cuti anggota Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) turut dibekukan bagi melancarkan proses pembersihan selepas banjir.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya umumkan cuti anggota JBPM, SWCorp, dan JPSPN dibekukan segera. Pasukan-pasukan ini bersiap sedia untuk bergerak ke kawasan banjir dengan langkah proaktif. Semangat Kerajaan Malaysia Madani, Madani dan rakyat berpisah tiada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Media (AkeMEDIA) KPKT 2024, di sini.