
BATU KAWAN, 17 Ogos 2026 –Pembangunan bakat perlu diperkukuh sebaik mungkin bagi memastikan tenaga kerja logistik yang kompeten dapat dilahirkan selari dengan perubahan industri.
- UMT menganjurkan International Logistics Symposium dan Logistics Industrial Forum sebagai platform kerjasama antara industri, akademik, agensi kerajaan dan pelajar.
- Penubuhan Malaysia Logistics Consortium 2025 di bawah MRI3, dengan UMT sebagai Universiti Peneraju, memperkuat kerjasama universiti dan industri.
- MLC menekankan kemahiran berasaskan industri, literasi digital serta menyasarkan 237,000 profesional logistik menjelang 2030 melalui TVET dan upskilling.
Profesor Dr. Suriyani Muhamad yang turut menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, pembangunan bakat dalam bidang berkenaan penting dalam memenuhi tenaga kerja industri pada masa hadapan.
Sehubungan itu, UMT terus memainkan peranan menerusi penganjuran International Logistics Symposium (ILS) & Logistics Industrial Forum (LIF) sebagai platform kerjasama antara pemain industri, akademik, agensi kerajaan dan pelajar.
Hampir 1,000 pelajar telah menyertai program ini sepanjang empat tahun penganjuran, sekali gus memberi pendedahan secara meluas khususnya berkaitan industri tersebut.
Usaha itu diperkukuh lagi dengan penubuhan Malaysia Logistics Consortium (MLC) pada 2025 di bawah Program MOHE Research and Industry-Infused Incubator (MRI3), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan UMT sebagai Universiti Peneraju.
“Masa depan logistik bergantung kepada kualiti bakat hari ini. MLC akan membentuk kerjasama universiti–industri untuk membangunkan bakat masa hadapan.” Katanya Ketika berucap sempena Majlis Perasmian International Logistics Symposium (ILS) & Logistics Industrial Forum (LIF) bertempat di The Ship Campus, di sini.
MLC menekankan kemahiran berasaskan industri, literasi digital serta kerjasama strategik antara universiti dan industri bagi memperkukuh inovasi dan jaringan logistik negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ts. Dr.Noraisah Spahat berkata, program itu menunjukkan pelaksanaan MLC secara praktikal melalui kerjasama akademik dengan industri.
Selain itu ia turut menyasarkan pembangunan 237,000 tenaga profesional logistik menjelang 2030, menerusi sokongan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta inisiatif peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).
“ILS & LIF 2026 mencerminkan pelaksanaan MLC yang menyokong agenda pendidikan tinggi negara secara bersepadu dan berorientasikan hasil. Sebagai Universiti Peneraju MLC, UMT komited memperkukuh pembangunan bakat, penyelidikan industri dan kerjasama strategik bagi memastikan pendidikan tinggi kekal relevan,” katanya.
Tambahnya, UMT akan terus memperluas jaringan MLC untuk meningkatkan pengalaman industri, kemahiran dan inovasi pelajar serta tenaga kerja.
Pendekatan ini meletakkan institusi tersebut sebagai pemangkin bakat dan inovasi dalam memperkukuh daya saing logistik Malaysia di peringkat ASEAN.