Peranan probiotik atasi sembelit kanak-kanak palsi serebrum

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Probiotik memperbaiki ekosistem usus dan merangsang pergerakan usus, mengurangkan kebergantungan kepada ubat pelembut najis dan enema.
  • Sembelit kanak-kanak CP berpunca daripada fungsi otot dinding usus terganggu, pergerakan terhad, dan ubat jangka panjang.
  • Pengambilan probiotik teratur, terutamanya Bifidobacterium dan Lactobacillus rhamnosus, meningkatkan kualiti hidup dan menjimatkan kos rawatan jangka panjang.

Masalah sembelit sering dianggap sebagai isu pencernaan yang lazim dilaporkan. Namun, bagi kanak-kanak yang menghidap palsi serebrum (CP), ia merupakan satu cabaran harian kepada ibu bapa.

CP ialah keadaan gangguan saraf yang menjejaskan keupayaan bergerak, koordinasi badan, serta kawalan otot. CP merupakan kecederaan otak yang kekal dan menyebabkan pergerakan motor seseorang menjadi terhad bergantung kepada bahagian otak yang terjejas.

Dianggarkan antara 26 peratus hingga 74 peratus kanak-kanak CP mengalami masalah sembelit kronik, khususnya bagi kanak-kanak CP yang terlantar.

Masalah sembelit yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup kanak-kanak CP, malah secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada ibu bapa atau penjaga.

Punca Sembelit

Bagi populasi kanak-kanak normal, sembelit lazimnya berpunca daripada masalah kekurangan pengambilaan air, kekurangan serat dalam menu seharian, atau tabiat suka menahan daripada membuang air besar yang boleh diatasi melalui perubahan gaya hidup.

Sebaliknya, sembelit dalam kalangan kanak-kanak CP pula berpunca daripada beberapa faktor lain. Selain daripada ketegangan atau kelemahan otot tangan dan kaki, otot pada dinding saluran pencernaan kanak- kanak CP juga tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

Keadaan ini akan menyebabkan najis akan tersimpan lebih lama sebelum dikeluarkan daripada tubuh badan. Tambahan pula, pergerakan fizikal yang terhad kerana terlantar atau menggunakan kerusi roda dapat memburukkan lagi masalah sembelit.

Selain itu, ubat-ubatan jangka panjang seperti ubat sawan dan ubat untuk mengurangkan kekerasan otot turut memperlahankan proses pencernaan.

Rawatan Lazim Sembelit

Rawatan konvensional seperti penggunaan ubat pelembut najis atau ubat pam dubur (enema) sering digunakan dalam rawatan sembelit.

Bagaimanapun, rawatan tersebut biasanya hanya memberikan kelegaan sementara tanpa menyelesaikan punca utama ketidakseimbangan sistem pencernaan.

Malah, penggunaan enema secara berulang dapat menimbulkan rasa takut dan trauma kepada kanak-kanak.

Probiotik Sebagai Rawatan Tambahan Sembelit

Probiotik ialah mikroorganisma hidup seperti bakteria yang membantu memperbaiki ekosistem usus dan merangsang pergerakan saluran pencernaan secara semula jadi.

Beberapa kajian melaporkan penurunan kadar pengambilan ubat pelembut najis atau enema selepas menggunakan probiotik sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan dalam populasi kanak-kanak CP.

Terdapat dua jenis ‘strain’ atau jenis bakteria yang dikenal pasti memberikan impak yang positif, iaitu Bifidobacterium dan Lactobacillus, khususnya Lactobacillus Rhamnosus.

Pengambilan probiotik secara teratur dapat mengurangkan masalah sembelit dan membantu mengurangkan kebergantungan kepada ubat pelembut najis.

Apabila ketidakselesaan perut berkurangan, kualiti hidup kanak-kanak CP secara tidak langsung turut meningkat. Mereka menjadi lebih ceria, mempunyai emosi yang lebih stabil, dan kurang merengek akibat kesakitan.

Probiotik bukan sahaja merawat simptom usus, malah ia menjadi kunci utama untuk meningkatkan keselesaan hidup kanak-kanak CP yang mempunyai masalah sembelit secara holistik.

Kesimpulan

Probiotik merupakan pendekatan praktikal yang berkesan dalam membantu rawatan sembelit kronik kanak-kanak CP secara semula jadi.

Bagi kanak-kanak CP yang mengalami keterbatasan fizikal tahap sederhana hingga teruk, penggunaan probiotik ini dapat menjimatkan kos perubatan komplikasi sembelit dalam jangka panjang.

Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesakitan akibat peneranan, malah dapat menstabilkan emosi mereka, serta meringankan beban harian ibu bapa.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nur Mashitah Abdullah
Pakar Pediatrik/Pensyarah Perubatan
Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: nurmashitah@ukm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.