fb fb fb fb fb

Bakal jemaah haji 2026 diingatkan buat persediaan awal segala aspek

TH menangi Anugerah Labaytum dua tahun berturut-turut dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Bakal jemaah haji yang berada dalam giliran musim haji 1447H/2026M diingatkan supaya membuat persediaan awal terutama dari segi pengemaskinian maklumat peribadi, kesihatan, kewangan, pengurusan diri, serta ilmu berkaitan ibadat haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Mustakim Mohamad menerusi satu kenyataan berkata ibadat haji yang merupakan rukun Islam kelima, memerlukan persediaan rapi bagi memastikan aspek kemampuan menunaikannya (istito’ah) dipenuhi.

"Giliran menunaikan haji boleh disemak di platform THiJARI atau di pejabat cawangan TH di seluruh negara. Langkah proaktif ini selari dengan usaha berterusan TH dalam mempertingkatkan perkhidmatan bagi manfaat jemaah haji Malaysia," menurut Mustakim menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Makluman peringatan awal ini dikeluarkan bagi membantu bakal jemaah untuk membuat persediaan lebih awal kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini bakal-bakal jemaah tidak berjaya melayakkan diri menerima tawaran haji terutamanya atas faktor kesihatan dan kewangan.

"Makluman giliran haji yang lebih awal akan memberi bakal jemaah lebih masa untuk membuat persediaan penjagaan kesihatan seperti aktiviti senaman untuk meningkatkan daya ketahanan badan di samping pemeriksaan kesihatan kendiri bagi menangani keadaan penyakit sedia ada," katanya.

Mustakim juga berkata bakal jemaah disarankan untuk terus meningkatkan simpanan di TH bagi mencukupkan wang belanja haji yang dijangka meningkat dari tahun ke tahun.

“TH menyediakan kemudahan untuk para pendeposit menyimpan secara berkala melalui potongan gaji dan potongan dari akaun bank (direct debit) di platform THiJARI. Bakal jemaah haji disarankan untuk mencukupkan simpanan di TH sekurang-kurangnya kepada RM15,000, jumlah bayaran haji yang ditetapkan bagi golongan B40 pada 2025 untuk layak menerima tawaran haji dalam tahun giliran,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mustakim berkata sebagai institusi pengurusan haji negara, TH terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dengan mengekalkan rekod konsisten sebagai model pengurusan haji yang inovatif sehingga mendapat pengiktirafan anugerah berprestij Diamond Award di Majlis Anugerah Labaytum 2025.

Sebelum ini, TH memenangi Anugerah Labaytum dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2023 menerusi dua anugerah dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik bagi Pejabat Hal Ehwal Haji serta Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik, manakala pada 2024, TH menerima anugerah dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik Pejabat Hal Ehwal Haji.

HASRON BIN HASSAN