ATM perkukuh kawalan sempadan, bendung ketirisan bahan api

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh kesiapsiagaan operasi bagi membanteras ketirisan serta penyelewengan subsidi bahan api selaras dengan pendirian kerajaan yang tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aset dan sumber digerakkan menyeluruh di semua kawasan sempadan melalui pendekatan bersepadu dan penguatkuasaan lebih tegas.
  • ATM memperluaskan penggunaan teknologi pengawasan moden termasuk UAV untuk pemantauan berterusan di kawasan berisiko tinggi.
  • Penggunaan teknologi membolehkan pengesanan awal aktiviti mencurigakan terutama pada waktu malam dan lokasi 'hot spot'.
  • Memperkukuh kerjasama strategik dengan PDRM, AKPS, Kastam, APMM melalui perkongsian maklumat masa nyata dan operasi bersepadu.

ATM dalam satu kenyataan memaklumkan, aset dan sumber akan digerakkan secara menyeluruh di semua kawasan sempadan negara melalui pendekatan bersepadu serta tindakan penguatkuasaan lebih tegas.

“Langkah ini bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan dan pencatutan bahan api subsidi melalui operasi yang lebih tersusun dan bersepadu,” menurut kenyataan itu.

Dalam usaha meningkatkan keberkesanan operasi, ATM turut memperluaskan penggunaan teknologi pengawasan moden termasuk aset udara tanpa pemandu (UAV) bagi pemantauan berterusan di kawasan berisiko tinggi.

“Penggunaan teknologi ini membolehkan pengesanan awal aktiviti mencurigakan khususnya pada waktu malam serta di lokasi dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ penyeludupan,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, ATM memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan melalui perkongsian maklumat secara masa nyata serta pelaksanaan operasi bersepadu.

Ia melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, selain agensi keselamatan lain.

“ATM menegaskan pendirian tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyeludupan dan pencatutan bahan api subsidi serta komited memastikan keselamatan sempadan negara terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.