(Orang ramai luar bangunan asrama SAMT Sultan Hisamuddin di Taman Bijaya semasa kebakaran/FOTO IHSAN BOMBA)
KLANG, 25 April- Seramai 43 pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin di Taman Bijaya, terselamat dan bernasib baik kerana tidak berada di asrama masing-masing ketika kejadian kebakaran berlaku di tingkat tiga bangunan itu.
Difahamkan, ketika kebakaran memusnahkan asrama lelaki kira-kira jam 9.30 malam itu, semua pelajar terbabit sedang menunaikan solat tarawih di surau.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pukul 9.40 malam.
Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Pelabuhan Klang, Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam serta Subang dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, kebakaran dikesan membabitkan tingkat tiga asrama lelaki di sekolah berkenaan.
"Anggota bersama beberapa jentera kemudian segera memadamkan api yang memusnahkan 70 peratus asrama itu," katanya dalam satu kenyataan.
(Kebakaran memusnahkan tingkat tiga bangunan asrama SAMT Sultan Hisamuddin di Jalan Sungai Bertih, Klang, malam tadi/FOTO IHSAN BOMBA)
Norazam berkata, hanya tingkat tiga bangunan asrama terbabit terbakar yang mana ia menempatkan 43 pelajar dan ketika kebakaran, mereka semua tiada di bilik kerana sedang solat tarawih.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pukul 10.09 malam.
"Sementara punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.