ASHA 2026-2030 dilancar selari kepentingan kesihatan serantau

Foto KKM

KUALA LUMPUR, 10 September – Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026-2030 dilancar hari ini sebagai pelan hala tuju strategik lima tahun bagi memperkukuh sistem kesihatan serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat kluster utama: promosi gaya hidup sihat dan pencegahan NCD, ancaman kesihatan awam, pengukuhan sistem kesihatan dan keselamatan makanan serantau.
  • Persetujuan dasar model 'single submission' untuk kelulusan pra-pasaran peranti perubatan; Malaysia dicadang penyelaras dokumen teknikal.
  • Pelancaran Pelan Tindakan ASEAN bagi Kesihatan Paru-Paru serta penyerahan Panduan Pengurusan Penyakit Jarang Berlaku oleh Malaysia.
  • Perbincangan kerjasama serantau termasuk MySPECS, inisiatif DNDi, Behavioural Insights dan mesyuarat bersejarah dengan Amerika Syarikat serta Jepun; rundingan tinggi bersama China, Korea, WHO.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, agenda ini juga bertujuan memastikan manfaat pembangunan kesihatan dapat dinikmati secara lebih saksama oleh seluruh komuniti ASEAN menerusi 4 teras kluster kesihatan.

“Kluster pertama mempromosi gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD), kedua menangani ancaman kesihatan awam dan ancaman baharu, ketiga memperkukuh sistem kesihatan serta akses kepada penjagaan dan terakhir memastikan keselamatan makanan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 (AHMM17) yang berlangsung di sini.

Tambah beliau, pelaksanaan agenda berkenaan adalah perlu dalam memastikan setiap negara anggota ASEAN bergerak seiring Visi Komuniti ASEAN 2045 yang turut berteraskan kepentingan serta kebajikan rakyat serantau.

Selain itu, penganjuran AHMM17 turut mencapai beberapa persetujuan penting termasuk persetujuan secara dasar model ‘single submission’ bagi kelulusan pra-pasaran peranti perubatan iaitu Malaysia dicadang menjadi penyelaras bagi dokumen teknikal tersebut.

Mesyuarat ini turut menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan ASEAN bagi Kesihatan Paru-Paru serta penyerahan Panduan Pengurusan Penyakit Jarang Berlaku (Rare Diseases Playbook) Malaysia sebagai menyokong usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menangani penyakit jarang jumpa di rantau ini.

Selain itu, AHMM17 turut menyaksikan perbincangan mengenai kesihatan mata menerusi (MySPECS), ubat untuk penyakit terabai (DNDi) serta pemahaman terhadap tingkah laku masyarakat (Behavioural Insights).

AHMM17 juga melakar sejarah menerusi Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN-Amerika Syarikat dan ASEAN-Jepun yang julung kali diadakan, selain rundingan peringkat tinggi bersama China, Korea Selatan dan WHO.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.