KUALA LUMPUR, 25 Oktober– ASEAN kekal teguh dan terus mencapai kejayaan meskipun berdepan ketidaktentuan global serta persaingan antara kuasa besar.
- ASEAN dilihat sebagai simbol berkecuali dan kawasan selamat di tengah ketidaktentuan geopolitik.
- Nilai kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan sistem pemerintahan menjadi pengikat kekuatan rantau.
- Visi masa depan perlu berteraskan prinsip inklusif dan mampan agar tiada negara atau rakyat tercicir.
- Kepengerusian Malaysia untuk ASEAN 2025 menumpukan usaha mengekalkan perpaduan dan matlamat bersama.
- Hala tuju masa depan dirancang sambil mengekalkan kepercayaan, dialog dan konsensus sebagai nilai teras.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata rantau ini kini dilihat sebagai simbol berkecuali (neutral) dan kawasan selamat di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dunia.
“Nilai-nilai inilah yang menjadi pengikat yang memberi kita kekuatan untuk menepis tanggapan dunia. Menjadi kisah kejayaan bagi sebuah rantau yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan sistem pemerintahan, namun tetap berkembang dengan baik,” katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,(KLCC), di sini, hari ini.
Tambah beliau, visi masa depan ASEAN perlu dibina berteraskan prinsip inklusif dan mampan dengan memastikan tiada negara atau rakyat di rantau ini tercicir daripada arus kemajuan.
Menurutnya, menerusi Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025, usaha berterusan dilaksanakan untuk mengekalkan perpaduan dan matlamat bersama.
Selain, merancang hala tuju masa depan tanpa mengabaikan nilai-nilai teras ASEAN termasuk kepercayaan, dialog dan konsensus.