fb fb fb fb fb

ASEAN 2025: Lebih 9,700 pegawai, anggota Polis KL ditugaskan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Lebih 9,700 pegawai dan anggota Polis Kuala Lumpur ditugaskan bagi mengawal keselamatan serta ketenteraman sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 berlangsung.

Langkah ini bagi melancarkan penganjuran 186 mesyuarat yang bakal diadakan di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata persiapan rapi telah dilaksanakan, selain mengoptimumkan kekuatan anggota untuk memastikan keselamatan delegasi serta orang ramai yang berkunjung ke Kuala Lumpur.

"Semua kita gerakkan, semua jabatan kita gerakkan, kita optimumkan, maksimumkan. Maknanya kita mesti menjalankan kerja-kerja di luar kotak.

"... dan saya pun telah beritahu setiap mesyuarat kecil dan besar sebelum dilaksanakan, mesti ada persiapan yang rapi dan kalau kita perlu minta bantuan daripada Bukit Aman atau negeri lain kita akan minta, khususnya trafik dan jaga aman.

Sempena kepengerusian ASEAN juga, mesyuarat berkala akan diadakan bagi memperkukuh keselamatan orang awam dan delegasi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

ROSLINA BINTI DIN