LABUAN, 22 Januari- Industri minyak dan gas Labuan dijangka lebih mampan, usai pengoperasian kemudahan pertukaran kru baharu, bertempat di fasiliti Asian Supply Base (ASB) Sdn Bhd.
Ia berikutan pewartaan Jabatan Imigresen yang membenarkan ASB sebagai tempat pendaratan dan pusat kemasukan bagi pemegang pas pekerja industri berkenaan.
Pengerusi ASB Sdn Bhd Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata, pergerakan keluar masuk pekerja industri bakal lebih lancar dan teratur; khusus melibatkan proses pertukaran kru operasi luar pesisir di rantau ini.
“Sokongan yang amat padu daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Jabatan Imigresen Sabah dan Labuan yang mana memberikan sokongan supaya operasi pertukaran kru balik semula ke Labuan.
"Ini satu berita yang baik kepada warga Labuan terutama pemilik-pemilk hotel, operator-operator restoran, pembekal-pembekal makanan kerana semua bekalan kepada kapal-kapal pertukaran kru ini dibekalkan melalui Labuan dan secara ringkas, bermakna perniagaan di Labuan akan aktif semula," kata Suhaili.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Labuan berkata demikian selepas merasmikan kemudahan itu bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib.
Katanya, pembukaan Kemudahan Pertukaran Kru ini membuktikan dedikasi pihaknya dalam menyediakan penyelesaian logistik bertaraf dunia sambil mendorong pertumbuhan ekonomi di pulau itu.
Pada masa sama merangsang pertumbuhan perniagaan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menarik pelaburan baharu, selaras matlamat menjadikan Labuan hab logistik luar pesisir utama.
Syarikat itu sedang membangunkan fasiliti khusus bagi tujuan itu melibatkan kos RM25 juta, dijangka siap sepenuhnya selewatnya November ini.