SERDANG, 26 Mac – Op Prihatin Siri 2 2025 diperluas dengan penambahan aset baharu, termasuk pemantauan menggunakan dron berkuasa tinggi serta pelaksanaan sesi ilmu pertahanan awam di lokasi Rehat dan Rawat (R&R) terpilih.
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed berkata langkah itu akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya, khususnya sempena musim perayaan Aidilfitri.
“Setiap negeri akan dibekalkan dua dron berkuasa tinggi yang dilengkapi inframerah untuk meningkatkan kecekapan pemantauan. Selain itu, rakan strategik APM juga akan membantu dalam operasi ini dengan penggunaan dron mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Op Prihatin Siri 2 Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Stesen Minyak Petronas Solaris, di sini.
Op Prihatin tahun ini melibatkan 2,364 pegawai dan anggota, yang terdiri daripada 14 Pejabat Negeri Pertahanan Awam serta 118 Pejabat Daerah dan Unit Pertahanan Awam di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, APM turut memperkasa inisiatif SIGAP dalam menjaga keselamatan masyarakat sempena Aidilfitri.
Menurut Aminurrahim, inisiatif SIGAP melibatkan 15,000 individu aktif di seluruh negara yang telah menerima latihan khas daripada APM untuk memberi respon segera terhadap kes-kes kecemasan tertentu.
“Inisiatif SIGAP membolehkan individu yang terlatih dalam pertahanan awam untuk bertindak balas terhadap kes kecemasan dengan memaklumkan kepada Pejabat Kawalan Operasi terdekat.
"Ini penting, terutama ketika musim perayaan di mana pelbagai kejadian boleh berlaku, seperti kecederaan kecil atau masalah kesihatan. Mereka yang terlibat juga akan menerima elaun atau merit atas bantuan yang diberikan," jelasnya.
Tambahnya, kehadiran anggota SIGAP di kampung halaman masing-masing membolehkan respons pantas dalam kes kecemasan tanpa perlu menunggu pasukan dari pusat kawalan utama.