KUALA LUMPUR, 16 April- Seramai 228 orang daripada 75 keluarga terjejas banjir di Sabah, setakat pada pukul 6.00 pagi tadi.
Jumlah berkenaan tidak berubah berbanding pada pukul 12.00 tengah malam tadi.
Menurut Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), banjir di Sabah melibatkan daerah Beaufort dan Keningau.
"Di Beaufort, 152 orang daripada 54 keluarga terjejas banjir. Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu.
"Manakala di Keningau; 76 orang daripada 21 keluarga terbabit dengan banjir. Hanya satu PPS dibuka di daerah berkenaan," menurut kenyataan tersebut.
Selain Sabah, Johor turut dilanda banjir.
Seramai 56 orang daripada 17 keluarga kekal terjejas banjir di negeri itu.
Ia hanya melibatkan daerah Segamat, dengan dua PPS dibuka di daerah terbabit.