
DURIAN TUNGGAL, 8 Mac – Semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan penugasan di selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat, walaupun kedudukan pasukan itu berdekatan dengan zon konflik antara Israel dan Iran.
- Kementerian Pertahanan mempunyai prosedur operasi standard untuk memastikan keselamatan anggota MALBATT.
- MALBATT tidak terlibat dalam peperangan, menjalankan penugasan di bawah panji Pertubuhan Bangsa Bersatu.
- Malaysia komited bekerjasama menjaga keamanan antarabangsa dan membantu negara memerlukan melalui misi keamanan.
- Rakyat Malaysia yang masih berada di sana dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan diri untuk mengelak perkara tidak diingini.
Timbalan Menteri Pertahan, Adly Zahari berkata, kementeriannya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan keselamatan anggota pasukan itu.
“Kita tidak terlibat dalam peperangan ini. Yang penting, kita melaksanakan penugasan di bawah panji Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kerana hasrat Malaysia adalah untuk bekerjasama dalam menjaga keamanan, bukan sahaja di negara kita tetapi juga membantu negara-negara yang memerlukan melalui misi keamanan.
“Malaysia sentiasa komited untuk memastikan dunia menjadi lebih aman dan jika boleh mengelakkan berlakunya peperangan”, katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Pekerja Pembersihan dan Rakan Media di Japerun Durian Tunggal.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang masih berada di sana supaya sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelak sebarang perkara tidak dingini.