
KUALA LUMPUR, 4 April – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik pendekatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang membuka ruang perbincangan rentas parti demi kepentingan negara, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan krisis tenaga.
- Langkah mencerminkan kematangan politik dan keberanian meletakkan kepentingan Malaysia melebihi perbezaan ideologi dan kepartian.
- Perbincangan rentas parti bukan soal kemenangan politik tetapi usaha bersama mencari penyelesaian terbaik untuk rakyat.
- Pendekatan membuka dimensi baharu politik yang menekankan dialog berbanding perpecahan dan hentikan budaya memecah-belahkan rakyat.
- AMK menyeru pembangkang sambut usaha dengan tanggungjawab; rakyat kini menilai pemimpin berdasarkan penyelesaian bukan retorik.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata langkah tersebut mencerminkan kematangan politik serta keberanian dalam meletakkan kepentingan Malaysia mengatasi perbezaan ideologi dan sempadan kepartian.
Beliau turut menegaskan bahawa perbincangan rentas parti bukanlah soal kemenangan politik, sebaliknya usaha bersama mencari penyelesaian terbaik untuk rakyat.
“Inilah ruang terbaik untuk kita semua kembali kepada asas perjuangan sebenar, membela rakyat.
“Perbincangan rentas parti bukan soal siapa menang atau kalah, tetapi bagaimana kita bersama-sama mencari penyelesaian dan membantu menangani krisis tenaga global,” jelas kenyataan itu lagi.
Tambahnya, pendekatan tersebut juga membuka dimensi baharu dalam landskap politik negara yang lebih menekankan dialog berbanding perpecahan.
“Langkah ini membuka satu dimensi baharu dalam politik negara, iaitu politik yang mengutamakan dialog, bukan perpecahan. Kita perlu hentikan budaya politik yang memecah-belahkan rakyat dengan sentimen sempit,” katanya.
Sehubungan itu, AMK menyeru pihak pembangkang agar menyambut baik usaha tersebut dengan penuh tanggungjawab dan jiwa besar, selari dengan kepentingan rakyat serta keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu.
“Ini bukan masa untuk menolak atau mempolitikkan setiap inisiatif, tetapi masa untuk menunjukkan kematangan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat ketika negara dan dunia sedang berdepan krisis tenaga dan ketidaktentuan geopolitik,” menurut kenyataan itu.
AMK turut menegaskan bahawa rakyat kini menilai pemimpin berdasarkan usaha menyelesaikan masalah, bukannya retorik semata-mata.
“Akhirnya, rakyat sedang memerhati. Mereka menilai bukan pada siapa paling lantang, tetapi siapa yang benar-benar berusaha menyelesaikan masalah mereka,” katanya.