fb fb fb fb fb

Amal perdagangan terbuka, Malaysia terdedah kepada kesan ketidaktentuan ekonomi global

foto arkib

KOTA KINABALU, 5 Oktober - Malaysia adalah negara yang mengamalkan perdagangan terbuka dan terdedah kepada kesan daripada ketidaktentuan ekonomi dunia.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, mengamalkan perdagangan terbuka mempunyai kelebihannya apabila Malaysia menjadi antara 20 negara perdagangan terbesar di dunia.

Jelas beliau, sebagai sebuah negara perdagangan, hasil sebenarnya bergantung kepada barangan yang dieksport sama ada elektronik, sawit, petroleum dan sebagainya.

Rafizi menyatakan demikian kepada media selepas merasmikan Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di Kota Kinabalu.

Ditanya sama ada ekonomi Malaysia akan terjejas ekoran ketidaktentuan ekonomi global pada masa ini.

Kata beliau, walaupun Malaysia tidak ada kaitan secara terus dengan isu kadar faedah rizab Persekutuan Amerika Syarikat, ekonomi Malaysia boleh dipengaruhi kerana mengamalkan perdagangan terbuka.

Sehubungan itu, Malaysia perlu mengubah struktur ekonomi untuk memastikan tatakelola kewangan yang kukuh.

"Kita mesti merubah struktur ekonomi kita. Dari segi amalan kerajaan contohnya, kita kena memastikan bahawa tata kelola kewangan kita itu betul-betul kukuh. Supaya kita ada rizab dan kemampuan kewangan yang besar untuk mengemudi benda ini," katanya.

Tambah Rafizi lagi "Kita perlu mempunyai penampan yang besar supaya kita boleh menyerap sebarang kejutan. Jadi itu yang kalau di peringkat persekutuan kita selalu sebut, kita perlu melalui perubahan fiskal untuk mengukuhkan fiskal."

Trainee