
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Allahyarham Prebet Siti Khadijah Sungip yang terkorban dalam insiden letupan ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart bulan lepas, dinaikkan pangkat kepada Lans Koperal secara anumerta.
- Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman menyerahkan sijil kepada ibu, Zaleha Said.
- Sumbangan peribadi, daripada Yayasan Kolonel Yang DiPertua RAMD, kotak rezeki RAJD serta Insurans Kelompok diserahkan kepada bapa, Sungip Jais.
- Ibu menerima pencen terbitan, pencen orang tanggungan dan Ex-Gratia orang tanggungan RM1,682.60 sebulan.
- TDM memastikan kebajikan warga dan keluarga diberi keutamaan serta waris menerima hak mengikut peraturan perkhidmatan.
Kenyataan TDM memaklumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman menyerahkan Sijil Kelulusan Kenaikan Pangkat itu kepada ibu Allahyarham, Zaleha Said.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi serta sumbangan daripada Yayasan Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), kotak rezeki daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) serta Insurans Kelompok Koperasi Tentera kepada bapa Allahyarham, Sungip Jais.
Ibu Allahyarham Lans Koperal Siti Khadijah turut menerima pencen terbitan, pencen orang tanggungan serta Ex-Gratia orang tanggungan sebanyak RM1,682.60 sebulan.
TDM sentiasa memastikan kebajikan warga dan keluarga sentiasa diberi keutamaan, termasuk memastikan waris menerima hak serta kelayakan berdasarkan peraturan perkhidmatan yang ditetapkan.