KUALA LUMPUR, 9 Disember-Semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha pembentukan Akta Profesion Kerja Sosial.
Pensyarah Prof. Dr. Haris Abd Wahab Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial Universiti Malaya (UM) berkata kerjasama antara mahasiswa dari pelbagai universiti penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan Akta Profesion Kerja Sosial.
"Semua pihak, termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan, ahli akademik, dan mahasiswa, perlu memainkan peranan aktif dalam usaha ini,”katanya ketika berucap merasmikan Kongres Gabungan Mahasiswa Kerja Sosial Malaysia di sini.
Jelasnya, pembentukan Akta Profesion Kerja Sosial akan mewujudkan standard profesional, memperbaiki perlindungan kerjaya pekerja sosial, dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada golongan rentan.
Program anjuran Persatuan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Universiti Malaya (PPKSUM) tersebut menghimpunkan mahasiswa dari pelbagai universiti di seluruh negara, dengan objektif utama membentuk jawatankuasa interim ke arah penubuhan Gabungan Mahasiswa Kerja Sosial Malaysia.
Sebanyak tujuh buah universiti awam menyertai kongres berkenaan.
Sementara itu, Pengarah program, Muhammad Royzekry Daniel Royjefry, menjelaskan bahawa kongres berkenaan menyediakan platform interaksi antara mahasiswa kerja sosial, selain menjadi langkah awal dalam menyatukan suara pelajar dalam memperjuangkan pembentukan Akta Profesion Kerja Sosial.
“Kami berharap kongres ini menjadi batu loncatan untuk lebih banyak inisiatif pada masa akan datang.
"Suara mahasiswa penting dalam mempercepatkan penggubalan Akta Profesion Kerja Sosial di Parlimen,” kata Royzekry.
Terdahulu, pada November lalu, kerajaan dilaporkan berkata Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial memerlukan penelitian mendalam sebelum dimuktamadkan dan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata, ini termasuk memastikan kesediaan dasar bagi pelaksanaannya kelak.
Kementerian tersebut sebelum ini bercadang untuk membentangkan RUU itu pada akhir tahun ini, namun pelaksanaan memerlukan perincian lanjut bagi memastikan keberkesanannya selepas diluluskan.