fb fb fb fb fb

Akta 118 dijangka dibentang tahun hadapan

Nga Kor Ming / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam proses meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada tahun hadapan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pindaan tersebut membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh termasuk menyenaraihitamkan ahli lembaga pengarah syarikat pemaju induk serta syarikat subsidiari.

"KPKT sedang dalam proses untuk meminda Akta 118 bukan sahaja syarikat 'parent company' (syarikat induk) akan disenaraihitam maka pemilik sebenar di belakang tabir juga akan disenaraihitam itu adalah tindakan yang sedang kita perhalusi.

"Insya-Allah sekiranya semua berjalan lancar pindaan itu akan kita bentangkan pada tahun depan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai tindakan menyenaraihitam ahli lembaga syarikat pemaju dan syarikat pemaju komersial sekiranya syarikat subsidiari mereka terlibat dalam projek sakit.

Tambah beliau, KPKT tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemaju yang bukan sahaja gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam pelaksanaan projek perumahan, malah telah menyusahkan rakyat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM