fb fb fb fb fb

Aidilfitri: Pengguna LTU diingatkan tidak buang sampah merata-rata

Laluan LTU di Pahang mula dibanjiri pengguna jalan raya hari ini menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan

RAUB, 5 April- Pengguna jalan raya di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang melalui negeri Pahang diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya berhenti di tepi jalan termasuk untuk berehat dan berbuka puasa.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mereka hanya dibolehkan berhenti di tepi jalan sekiranya berada dalam keadaan kecemasan.

Jelasnya, setiap kali musim cuti perayaan, pengguna didapati sering memberhentikan kenderaan di tepi LTU dan paling mengecewakan berlaku pembuangan sampah merata-rata sehingga mencacatkan pemandangan.
 
Yahaya berkata, sampah dilihat sudah mula memenuhi beberapa kawasan LTU antaranya plastik, bungkusan makanan, kotak minuman, lampin pakai buang, malah ada juga najis.

Sementara itu, pihaknya menjangkakan kira-kira 2.3 juta kenderaan akan memasuki negeri tersebut dalam tempoh musim perayaan Aidilfitri kali ini dan sebanyak 31 kawasan 'hotspot' kemalangan serta kesesakan diberi perhatian.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran Ops Balik Kampung di LTU Raub Bypass, di sini, hari ini.

0504 PHG POLIS LTU
Yahaya Othman (tengah) dan Fadzli Mohamad Kamal (kanan)

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan Pahang sedang merancang untuk membina kawasan rehat dan rawat (R&R) di laluan LTU.
 
"Kerajaan negeri Pahang memang tengah merancang untuk pembinaan R&R di LTU (tetapi) ia bukan alasan walaupun tidak ada R&R untuk buang sampah atau berhenti," katanya pada majlis sama.
 
Tambahnya, dengan laluan yang singkat iaitu hanya kira-kira 30 minit dari Bentong ke Raub, terdapat beberapa laluan keluar daripada LTU yang boleh digunakan untuk berhenti dan berehat. 

SITI AISHAH MD ISA