Empat ‘penyamun’ berkumpulan tumpas di Kuching

Kesemua suspek positif dadah

KUCHING, 14 Julai – Empat individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam samun berkumpulan yang mendatangkan kecederaan di Jalan Petanak pada Sabtu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek ditahan hasil operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD.
  • Sebuah motosikal dan tiga telefon bimbit dirampas sebagai barang bukti.
  • Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah, rekod lampau berkaitan dadah dikesan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan; jika sabit boleh dihukum sehingga 20 tahun, denda atau sebatan.

Kesemua suspek tempatan berusia antara 22 hingga 27 tahun itu ditahan hasil operasi sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Turut dirampas sebuah motosikal dan tiga unit telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

“Semakan rekod jenayah turut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

”Seorang daripada suspek turut didapati masih berstatus dikehendaki, manakala kesemua suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun yang mendatangkan kecederaan.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta dikenakan denda atau sebatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.