fb fb fb fb fb

Agong bimbang budaya fitnah, hasutan di media sosial

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini/Bernama

KUALA LUMPUR, 3 Februari- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah siber dan budaya fitnah dalam talian yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Baginda bertitah rakyat perlu sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian, pencurian identiti dan kegiatan jenayah siber lain yang semakin berleluasa.

"Saya juga merasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan di media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.

Sehubungan itu, baginda menegaskan kerajaan perlu bersikap tegas dalam membendung budaya tersebut serta proaktif dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan boleh dipercayai kepada rakyat.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menyambut baik usaha kerajaan untuk meningkatkan pelaburan asing dalam sektor teknologi tinggi dan digital.

Baginda bertitah pengukuhan infrastruktur serta keselamatan siber perlu dilaksanakan segera bagi memastikan pembangunan ekonomi digital yang mampan.

"Sistem perkhidmatan kerajaan juga hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus bagi membanteras amalan rasuah, salah guna kuasa serta budaya ‘'red tape' yang menyusahkan urusan rakyat," titah baginda.

Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen kedua oleh Sultan Ibrahim selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA