fb fb fb fb fb

Afidavit mangsa boleh diguna dalam kes pemerdagangan orang - Mahkamah Persekutuan

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 5 Januari- Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa penggunaan deposisi (keterangan bersumpah melalui afidavit) oleh individu yang diseludup boleh diterima sebagai bukti dalam kes pemerdagangan orang.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan sebulat suara, berkata Seksyen 61A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) yang menyatakan bahawa mana-mana deposisi orang diperdagang atau diseludup yang telah dihantar pulang ke negara asal hendaklah tanpa bukti lanjut diterima sebagai bukti prima facie bagi mana-mana fakta yang dinyatakan dalam deposisi itu, adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kami mendapati Seksyen 61A secara objektif adalah adil berdasarkan keadaan unik dalam kes ATIPSOM membabitkan mangsa warga asing yang dibawa ke negara ini secara haram,” katanya.

Turut bersidang Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Panel itu juga memutuskan bahawa hak tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM untuk suatu perbicaraan adil harus mengambil kira hak-hak mangsa dan masyarakat secara amnya.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas menolak permohonan ahli perniagaan Tan Sri K.Ketheeswaran dan isterinya, Puan Sri Vivienne Ketheeswaran bagi merujuk persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan sama ada Seksyen 61A ATIPSOM adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah kerana ia bercanggah dengan doktrin pengasingan kuasa di bawah Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pasangan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 2019 atas tiga pertuduhan memperdagang tiga wanita warga Indonesia antara 2012 dan 2019.

Tengku Maimun juga berkata hak untuk menyoal balas adalah aspek penting mana-mana perbicaraan lebih-lebih lagi yang membabitkan kes jenayah.

"Keupayaan untuk menyoal balas saksi tidak selalu ada dalam setiap perbicaraan kes jenayah, contohnya apabila ia berkaitan dengan kesahihan keterangan dengar cakap atau keupayaan itu boleh disekat apabila ia membabitkan saksi tertentu,” katanya.

Beliau berkata rejim ATIPSOM, dalam keadaan tertentu, mengutamakan hak asasi mangsa dengan memudah cara penghantaran pulang mereka ke negara asal lebih pantas.

"Oleh itu, keseimbangan dapat dicapai melalui pengambilan keterangan mereka tanpa membiarkan mangsa meringkuk dalam penjara sementara menunggu perbicaraan. Begitu juga dari segi kepentingan awam iaitu pihak pendakwaan mendapat keterangan dalam bentuk deposisi.

"Namun pada masa sama, tertuduh dibenar menyoal serta mencabar keterangan itu dengan mengemukakan penafian atau bukti yang menyangkal dan menyoal balas semua saksi lain pendakwaan," katanya.

Mahkamah Persekutuan kemudian mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi selaras dengan Seksyen 85(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk perintah dan arahan sewajarnya mengikut penghakiman hari ini dan undang-undang sedia ada.

Peguam Datuk Seri K.Kumaraendran, M.Athimulan, Teh See Khoon dan Shaarvin Raaj mewakili pasangan itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, Nahra Dollah serta Dhiya Syazwani Azyan Akhir hadir bagi pihak pendakwaan.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN