
GEORGE TOWN, 13 Jun – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi amaran tegas kepada semua pentadbir sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya mengambil tindakan segera terhadap sebarang aduan salah laku di sekolah.
- Aduan mesti ditangani mengikut prosedur tanpa menunggu ia tular di media sosial.
- KPM bertindak hanya berdasarkan aduan rasmi, bukan reaksi selepas tular di media sosial.
- JPN menempatkan guru disyaki ke PPD sementara siasatan berjalan sebagai langkah pengurusan.
- Penekanan perlindungan kanak-kanak; masyarakat diminta guna saluran rasmi untuk melapor salah laku.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, sebarang aduan tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani mengikut prosedur ditetapkan tanpa menunggu sehingga kes berkenaan tular di media sosial.
Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa dilaksanakan berdasarkan aduan rasmi yang diterima, dan bukan hanya selepas sesuatu kes menjadi tumpuan umum di media sosial.
“Saya meminta semua PPD untuk sentiasa peka terhadap kes-kes seperti ini. Jangan tunggu sehingga ia tular, sebaliknya ambil tindakan sewajarnya mengikut proses kerja yang ditetapkan serta segera melaporkannya kepada pihak berautoriti.
“Ketegasan dalam menangani kes-kes ini perlu diberi penekanan kerana ia melibatkan kanak-kanak yang perlu dilindungi. Perkara ini tidak boleh diambil ringan, dan tindakan juga mesti dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes seorang guru lelaki yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku seksual terhadap pelajar berusia 16 tahun sehingga hamil di sebuah sekolah di Lawas, Sarawak yang tular di media sosial.
Menurut JPN Sarawak, guru berkenaan ditempatkan di PPD sehingga proses siasatan selesai.
Pada masa sama masyarakat turut diminta menggunakan saluran rasmi pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang salah laku demi keselamatan dan perlindungan menyeluruh kanak-kanak.
Terdahulu Fadhlina hadir pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pembinaan Bangunan Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee di Jalan Macalister, George Town pagi tadi.