
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Sebanyak 92 projek pembinaan masjid di seluruh negara diluluskan sejak 2023 hingga Jun 2026 dengan peruntukan berjumlah RM160.82 juta, dalam usaha memastikan kemudahan ibadah memenuhi keperluan masyarakat setempat.
- Sebahagian projek masjid telah siap, ada dalam pelaksanaan dan ada pada peringkat pra-pelaksanaan.
- Kelulusan masjid baru berdasarkan pertambahan penduduk Islam, kepadatan jemaah, jarak ke masjid sedia ada, kesesuaian tapak dan komitmen negeri.
- Kerajaan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama untuk menaik taraf dan baiki masjid serta surau secara pembiayaan bersama.
- Masjid diperkasa sebagai pusat bantuan komuniti, salur inisiatif kebajikan oleh JAKIM, jabatan agama negeri, NGO dan program pemulihan dadah bersama JKM.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 54 masjid telah siap dibina, manakala 16 projek masih dalam pelaksanaan dan 22 lagi berada pada peringkat pra-pelaksanaan termasuk proses perolehan.
“Kelulusan pembinaan masjid baharu dibuat berdasarkan beberapa faktor utama antaranya pertambahan penduduk Islam, kepadatan jemaah, jarak dengan masjid sedia ada, kesesuaian tapak serta komitmen pembiayaan kerajaan negeri.
“Pendekatan ini memastikan pembinaan masjid benar-benar memenuhi keperluan komuniti setempat. Di samping pembinaan baharu, kerajaan juga bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih masjid serta surau yang sedia ada dapat dilaksanakan secara berperingkat melalui kaedah pembiayaan bersama tertakluk kepada keutamaan keperluan dan kemampuan kewangan,” katanya.
Dalam masa sama, Marhamah berkata kerajaan turut memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat bantuan komuniti bagi membantu golongan rentan termasuk miskin bandar dan gelandangan.
Beliau berkata, kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan agama Islam negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membolehkan pelbagai inisiatif kebajikan disalurkan melalui masjid.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk agihan bantuan kepada golongan asnaf, penyediaan bakul makanan, program dapur komuniti, bantuan kecemasan kewangan, bantuan pendidikan, khidmat kaunseling, pengurusan jenazah golongan rentan serta penyediaan tempat perlindungan sementara.
Selain itu, katanya, program pemulihan dadah turut dilaksanakan melalui kerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai sebahagian usaha memperluas fungsi masjid dalam menyantuni masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung jumlah masjid baharu yang dibina atau sedang dalam pelaksanaan pada era MADANI serta peranan lebih besar institusi masjid dalam membantu golongan memerlukan di Dewan Negara hari ini.