81 beg darah berjaya dikumpulkan dalam tempoh lima jam

Foto RTM

SUNGAI PETANI, 24 Mei – Sebanyak 81 beg darah berjaya dikumpulkan dalam tempoh kira-kira lima jam menerusi Program Derma Darah “Setitis Darah, Sejuta Harapan” yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program anjuran bersama JPKKP, UMNO Bahagian dan Jabatan Perubatan Transfusi bertujuan menampung keperluan bekalan darah menjelang musim cuti dan Aidiladha.
  • Sebahagian hadir tidak dapat menderma kerana tidak memenuhi kriteria wajib seperti umur, berat badan, kesihatan dan pengambilan ubat tertentu.
  • Shahanim menggesa masyarakat menderma secara sukarela dan jangan tunggu sehingga ahli keluarga memerlukan; setiap titis darah amat bermakna.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), UMNO Bahagian Sungai Petani, dan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) itu diadakan sebagai persediaan awal bagi menampung keperluan bekalan darah yang dijangka meningkat menjelang musim cuti sekolah dan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, program yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-80 itu mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima kehadiran lebih 100 bakal penderma.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebahagian daripada mereka yang hadir tidak dapat menderma atas pelbagai faktor kesihatan dan kriteria yang ditetapkan oleh pihak hospital.

“Penderma darah perlu memenuhi beberapa kriteria wajib, antaranya berusia antara 17 hingga 60 tahun, mempunyai berat badan melebihi 45 kilogram, berada dalam keadaan sihat, serta tidak mengambil sebarang ubat-ubatan tertentu,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Shahanim berharap inisiatif berkenaan dapat membuka mata lebih banyak pihak untuk tampil menderma darah secara sukarela memandangkan keperluan bekalan darah di hospital-hospital kini semakin kritikal.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar mengikis sikap acuh tidak acuh dan tidak hanya menunggu sehingga ada ahli keluarga sendiri yang memerlukan darah sebelum mahu menderma.

“Setiap titis darah yang disumbangkan amat bermakna kerana ia bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah membawa sinar harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.