Johor isytihar Isnin sebagai Cuti Peristiwa

Foto FB rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 24 Mei – Kerajaan Negeri Johor bersetuju untuk mengisytiharkan hari Isnin, iaitu 25 Mei 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi sempena dengan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2025/26 pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas usaha memartabatkan bola sepak Johor.
  • Kemenangan disifatkan sebagai hadiah untuk seluruh Bangsa Johor dan penyokong setia JDT.
  • Tahniah kepada skuad Harimau Selatan yang menundukkan Kuching City FC 2-0 dalam perlawanan akhir.
  • Penghargaan kepada pemain, jurulatih, pengurusan dan keluarga JDT atas komitmen tinggi yang membawa kejayaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan cuti peristiwa itu telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas kepimpinan, komitmen dan usaha berterusan dalam memartabatkan bola sepak Johor sehingga JDT terus menjadi kebanggaan bukan sahaja di peringkat negara, malah di persada dunia.

“Sesungguhnya, kemenangan ini adalah hadiah buat seluruh Bangsa Johor dan para penyokong JDT yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan, dalam suka dan duka, di setiap perlawanan, di setiap musim,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial rasmi beliau di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada skuad Harimau Selatan atas kejayaan menundukkan Kuching City FC dengan keputusan 2-0 dalam aksi perlawanan akhir yang disifatkannya penuh semangat dan mendebarkan.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada barisan pemain, barisan jurulatih, pihak pengurusan pasukan, serta seluruh keluarga besar JDT di atas komitmen tinggi yang membawa kepada pencapaian membanggakan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.