57 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir di Rasuwa, Nepal

Usaha mencari dan menyelamat diteruskan untuk mencari lebih 1,400 mangsa yang masih hilang./ REUTERS

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Wisma Putra masih belum menerima pengesahan sama ada terdapat warganegara Malaysia dalam kalangan 31 warganegara asing yang dilaporkan berjaya diselamatkan pihak berkuasa Nepal susulan banjir besar di Daerah Rasuwa.

RINGKASAN BERITA AI
  • 57 warganegara Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat 11 malam, 27 Ogos.
  • Wisma Putra dan perwakilan diplomatik bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal semak dan sahkan maklumat warganegara Malaysia.
  • Operasi mencari dan menyelamat diteruskan; kerosakan jalan serta gangguan komunikasi memaksa penggunaan helikopter dan pemindahan pesakit ke Kathmandu.

Wisma Putra dalam kenyataan terbaharunya, memaklumkan Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan sedang membuat semakan lanjut berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan di Nepal.

“Pihak berkuasa tempatan di Nepal telah melaporkan bahawa 31 warganegara asing berjaya diselamatkan setakat ini. Kementerian belum menerima pengesahan sama ada terdapat warganegara Malaysia dalam kalangan mereka yang diselamatkan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan, seramai 57 warganegara Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat 11 malam, 27 Ogos, berdasarkan laporan diterima daripada ahli keluarga, rakan dan majikan.

Kementerian turut menerima maklumat bahawa terdapat kemungkinan warganegara Malaysia memasuki kawasan yang terjejas melalui China dan India.

Sehubungan itu, ahli keluarga warganegara Malaysia yang berada atau melakukan perjalanan di rantau berkenaan dan masih belum berdaftar digesa menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak kementerian.

Perwakilan Diplomatik Malaysia turut bekerjasama dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Kementerian Luar Negeri Nepal dan Lembaga Pelancongan Nepal bagi menyemak maklumat mengenai warganegara Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat terus dilaksanakan oleh pihak polis, agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan penduduk Nepal di kawasan yang terjejas akibat banjir, selain usaha memindahkan keluarga dari lokasi yang berisiko dilanda banjir susulan.

Wisma Putra turut memaklumkan kerosakan teruk pada laluan darat serta gangguan komunikasi di sebahagian besar kawasan terjejas menyebabkan helikopter digunakan secara meluas dalam operasi berkenaan.

Individu yang memerlukan rawatan perubatan segera diterbangkan ke hospital utama di Kathmandu, manakala mereka yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di pusat perubatan di kawasan terjejas.

Sementara itu, Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya kini beroperasi 24 jam sehingga dimaklumkan kelak bagi menyelaras maklumat serta membantu warganegara Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.

Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir dan nombor telefon yang boleh dihubungi, boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di talian +603 8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui mwkathmandu@kln.gov.my, dengan menyalinkan e-mel berkenaan kepada Bilik Operasi Kementerian di dutyofficer@kln.gov.my.

Warganegara Malaysia yang menetap atau berada di Nepal, khususnya di kawasan terjejas atau kawasan berhampiran, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Mereka juga digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri.

Kementerian Luar berkata pihaknya akan terus menyalurkan perkembangan terkini berdasarkan maklumat yang telah disahkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.