56 warga asing, dua warga tempatan ditahan kes penipuan dalam talian

Sidang media penahanan suspek kes ‘Love Scam’ di IPD Tanah Merah / RTM

TANAH MERAH, 23 April – Polis menahan 56 warga asing dan dua warga tempatan dipercayai terbabit kegiatan pusat panggilan yang mengendalikan penipuan dalam talian ‘Love Scam’ menerusi serbuan di sebuah resort di Tanah Merah, Kelantan semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis merampas 118 telefon bimbit, 46 PC, lima komputer riba, lapan router; anggaran nilai rampasan RM179,000.
  • Sindiket dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu, menyasarkan lelaki warganegara Singapura melalui 'Love Scam' untuk keuntungan kewangan.
  • Kesemua suspek terdiri daripada 53 lelaki dan 5 perempuan; termasuk warga China, India, Myanmar dan warga tempatan, umur 20 hingga 30-an.
  • Suspek direman empat hari; siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam operasi pada pukul 4.30 petang itu pihaknya turut merampas 118 unit telefon bimbit, 46 unit komputer (PC), lima unit komputer riba dan lapan unit Router dengan anggaran jumlah rampasan RM179,000.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu itu menyasarkan mangsa lelaki warganegara Singapura dengan modus operandi memperdaya emosi dan kepercayaan mangsa untuk tujuan keuntungan kewangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini, hari ini.

Katanya, kesemua suspek terdiri daripada 53 lelaki dan 5 perempuan termasuk warga China, India, Myanmar dan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

Mereka direman selama empat hari bermula hari ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.