
TAWAU, 25 Julai – Seramai 48 penduduk yang terperangkap akibat banjir kilat di kawasan Tanjung Batu Keramat, di sini awal pagi tadi berjaya dipindahkan.
- Penduduk dipindahkan dan ditempatkan di sebuah masjid yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara.
- Banjir kilat menjejaskan Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Perumahan Taman Sunshu dan Taman Sri Balung.
- Pasukan bomba seramai 14 pegawai dan anggota memantau lokasi; paras air semakin surut dan keadaan dilaporkan terkawal.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, kesemua mereka kini ditempatkan di sebuah masjid berhampiran yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Jelasnya, banjir kilat menjejaskan beberapa kawasan termasuk Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Perumahan Taman Sunshu dan Taman Sri Balung.
“Pasukan bomba melibatkan 14 pegawai dan anggota telah menjalankan pemantauan di semua lokasi terjejas,” jelasnya.
Beliau berkata, operasi pemantauan mendapati paras air dilaporkan semakin surut dan keadaan terkawal.
“Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau turut menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan kejadian banjir di kawasan berkenaan,” tambahnya.