fb fb fb fb fb

478 pengamal media terima bantuan Tabung Kasih@HAWANA sejak 2023

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (dua, kiri) ketika nyanyian lagu "Jalur Gemilang" sempena sambutan Bulan Kemerdekaan pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Media Tamil Malaysia Tahun 2025 di Wisma Jaya Bakti, Kuala Lumpur hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Seramai 478 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak 2023 dengan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah RM1.3 juta.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, 56 penerima ialah pengamal media Tamil.

Katanya, inisiatif itu merupakan komitmen Kerajaan MADANI untuk menghargai jasa wartawan dan sumbangan mereka kepada masyarakat serta negara.

“Jadi kepada rakan-rakan media yang memerlukan bantuan, atau mengenali seseorang yang memerlukan, bolehlah menghantar permohonan melalui urusetia Tabung Kasih@HAWANA atau terus menghubungi pejabat kami.

"Tabung ini terbuka kepada semua pengamal media, termasuk bekas pengamal media, tanpa mengira kaum atau bahasa. Jika benar-benar layak dan berada dalam kesusahan, kami sedia menyalurkan bantuan," katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Media Tamil Malaysia bagi tahun 2025 di ibu negara.

Tabung Kasih@HAWANA, yang dilancarkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023, bertujuan membantu kebajikan pengamal media serta bekas pengamal media yang memerlukan, termasuk dari segi bantuan kewangan, kos perubatan, kebajikan keluarga serta sokongan sewajarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Media Malaysia (MMM) yang baru diluluskan dijangka mengadakan mesyuarat agung tahunan pertamaya pada November di Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu bagi membincangkan isu-isu dalam industri media.

“Majlis Media Malaysia akan terus menjalankan sesi libat urus dengan semua pengamal media tanpa mengira kaum, agama atau bahasa. Ini penting kerana keunikan Malaysia terletak pada kepelbagaian medianya – dari akhbar bercetak, portal atas talian sehinggalah media pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina,” katanya.

MMM turut membuka keahlian kepada semua wartawan dan organisasi media.

GRACE AISYAH KEDAYAN