SHAH ALAM, 8 Ogos - Sebanyak 29 ekor ular sawa ditangkap dalam saliran longkang berdekatan sebuah restoran di Seksyen 20 dekat sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.56 malam.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat tersebut, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam digerakkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, didapati 28 anak ular sawa yang dipercayai baru menetas serta seekor induk berada dalam saliran longkang berkenaan.
"Bomba kemudiannya menangkap semua ular sawa itu menggunakan penjerut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata operasi menangkap ular itu mengambil masa 12 minit sebelum semua tangkapan dilepaskan di tempat yang selamat.