29 pelajar sedia juadah berbuka untuk frontliner

Foto Facebook Politeknik METrO Kuantan, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia

KUANTAN, 10 Mac – Seramai 29 pelajar Diploma Pengurusan Makanan Halal Politeknik Metro Kuantan menyediakan juadah berbuka puasa sebagai sebahagian daripada latihan amali mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Juadah diagihkan kepada 100 petugas barisan hadapan di Kuantan termasuk petugas PAHANGfm.
  • Program memberi peluang pelajar mempraktikkan penyediaan menu, pengendalian makanan halal dan pengurusan hidangan berskala besar.
  • Program dilaksanakan setiap semester; kali ini melibatkan petugas barisan hadapan untuk pendedahan praktikal kepada pelajar.
  • Set juadah termasuk nasi beriani, opor ayam, papadom, kuih nona manis, tauhu bergedil dan minuman ditaja syarikat.

Juadah berkenaan kemudian diagihkan kepada 100 petugas barisan hadapan di Kuantan, Pahang termasuk petugas PAHANGfm.

Pengarah Politeknik Metro Kuantan, Ts. Ahmad Nasrul Hisyam Hamzah berkata, program itu memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan kemahiran yang dipelajari di dalam kelas termasuk aspek penyediaan menu, pengendalian makanan secara halal serta pengurusan hidangan dalam skala besar.

“Program ini dilaksanakan pada setiap semester sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran pelajar. Namun pada kali ini, ia diadakan dengan penglibatan petugas barisan hadapan bagi memberi pendedahan yang lebih bersifat praktikal kepada para pelajar.

“Program ini juga dirangka berdasarkan konsep tertentu yang dipilih mengikut kesesuaian semester. InsyaAllah, selaras dengan perkembangan semasa, program seumpama ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.

Mereka menerima set juadah lengkap yang terdiri daripada nasi beriani, opor ayam, papadom, kuih nona manis, tauhu bergedil serta air minuman yang ditaja sebuah syarikat.

Selain petugas PAHANGfm, penerima sumbangan turut terdiri daripada anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan serta petugas Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Pemilihan petugas barisan hadapan pada tahun ini dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka yang terus menjalankan tanggungjawab walaupun ketika umat Islam sedang berbuka puasa.