200 individu dirai pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 IPD Klang Utara

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S. Vijaya Rao menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota terlibat / RTM

KLANG, 25 Mac – Seramai 200 individu terdiri daripada pegawai, anggota, pesara polis serta orang awam diraikan pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang berlangsung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Soo Jin, Kapar, di sini pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sijil penghargaan disampaikan kepada 50 penerima, termasuk 20 orang awam yang memberi kerjasama penuh kepada polis.
  • Pengiktirafan diberikan atas sumbangan perkongsian maklumat dan penglibatan aktif dalam program komuniti anjuran polis.
  • Majlis dimulakan dengan nyanyian Negaraku, lagu rasmi pasukan polis, dan bacaan amanat Ketua Polis Negara.
  • Amanat menyeru seluruh warga PDRM terus komited menjaga keselamatan serta memperkukuh keselamatan awam menerusi hubungan erat dengan komuniti.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S. Vijaya Rao berkata, majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 50 penerima termasuk 20 orang awam yang telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan dalam perkongsian maklumat serta penglibatan aktif dalam program komuniti yang dianjurkan pihak polis di daerah berkenaan.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti beberapa lagu rasmi pasukan polis sebelum beliau membacakan amanat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Dalam amanat tersebut, seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru agar terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara polis dan komuniti setempat selaras dengan usaha memperkukuh keselamatan awam.