GEORGE TOWN, 16 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengeluarkan 20 Notis Bertulis (NB) menerusi Ops Kesan 2.0 yang dijalankan sejak 8 Jun hingga semalam.
Pengarahnya S. Jegan dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 42 premis telah diperiksa dalam operasi itu bagi mengenal pasti berlakunya kenaikan harga barangan atau perkhidmatan berikutan kenaikan harga diesel.
"Maklumat yang telah direkod akan dianalisis sama ada wujud aktiviti mencatut (mengambil keuntungan yang tidak munasabah) atau tidak. Sekiranya berlaku tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.
Ops Kesan 2.0 yang dilaksanakan secara berfasa itu juga bagi memantau kesan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan fokus untuk membendung risiko pencatutan dengan fasa pertama dilaksanakan mulai 20 Mei hingga 31 Mei manakala fasa kedua, bermula dari tarikh pelaksanaan fleet card Sistem MySubsidi Diesel bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Sementara itu pihaknya juga bersedia untuk mengambil tindakan terhadap aduan kenaikan harga pada kadar tidak munasabah terutama kepada mereka yang telah mendapat manfaat daripada penyasaran subsidi diesel dan juga kepada peniaga tidak layak menerima subsidi diesel sebelum pelaksanaannya.
Pada masa sama, Jegan turut melakukan pemeriksaan bekalan asas di Pasar Pagi Ban Busuk, Penanti Bukit Mertajam dan premis sekitarnya.
Pemeriksaan itu mendapati bekalan berkenaan mencukupi bagi menampung permintaan pengguna setempat dan tiada masalah terputus bekalan sempena sambutan Aidiladha esok.
"Hasil pemeriksaan terhadap 31 premis mendapati bekalan asas, minyak masak dan telur ayam ada di pasaran dan dijual tidak melebihi harga kawalan. Tidak berlaku kenaikan harga barangan semasa pemeriksaan dijalankan selain tanda harga dipamerkan dengan jelas serta alat timbang dan sukat masih dalam tempoh sah," katanya.