fb fb fb fb fb

19 'ulat' dicekup di KLIA dan KLIA2

(FOTO BERNAMA)

SEPANG, 13 Disember - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 19 individu yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen dan beroperasi secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata mereka ditahan dalam Operasi Ulat (Ops Ulat) bermula 4 Disember lepas hingga Isnin dengan 18 daripadanya ditahan di KLIA2 manakala seorang di KLIA.

Katanya, daripada jumlah tersebut 15 individu didapati menggunakan kenderaan persendirian untuk kegiatan itu, manakala empat yang lain menggunakan kenderaan awam termasuk kereta e-hailing atau teksi.

(Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim)

"Sebenarnya ada banyak cara...dia ada platform dia sendiri itu antara pendekatan dia, yang kedua pendekatan fizikal di pintu-pintu masuk di mana mereka lihat bukan warganegara Malaysia...warganegara luar mereka akan pergi cuba goda...cuba pengaruhi.

"Tiga individu yang ditahan didapati mempunyai rekod kesalahan berulang dan kita turut menyita 19 kenderaan bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media di KLIA, di sini.

Zailani berkata, kesemua individu berusia antara 20-an hingga 60-an itu disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tambah Zailani, JPJ komited untuk terus memberikan advokasi kepada pengguna berkaitan kegiatan ‘ulat’ menerusi video hebahan yang telah disediakan dengan kerjasama pengendali lapangan terbang.

Sejak 2015 hingga semalam sebanyak 630 kes ‘ulat’ direkodkan di Selangor dan daripada jumlah itu, 29 individu telah dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan tersebut sepanjang tempoh itu.

Media Baharu