166 agensi dan usahawan sertai Ekspo Sarawak

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru anak-anak Sarawak untuk berkunjung ke Ekspo Sarawak yang sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan dasar serta perancangan kerajaan negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • 166 agensi negeri, kementerian dan usahawan menyertai Ekspo Sarawak, mempamerkan kerjaya, pendidikan dan peluang perniagaan.
  • Ekspo selaras usaha memastikan Sarawak terus makmur bersama rakyat melalui maklumat dasar dan perancangan negeri.
  • Program baharu Sarawak Croc’s Tank memberi platform kepada pelajar bentangkan idea dan projek inovatif.
  • Kira-kira 3,000 pelajar turut serta dalam sesi Town Hall bersama Premier Sarawak.

Beliau pada perasmian Ekspo Sarawak sempena Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 itu berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan usaha memastikan Sarawak terus makmur bersama rakyat.

“Saya menggalakkan anak-anak Sarawak datang ke MITEC hari ini, rebut peluang untuk mendapat segala maklumat dan pengetahuan terkini yang berkait dengan dasar serta perancangan kerajaan negeri,” katanya.

Sebanyak 166 agensi kerajaan negeri, kementerian dan usahawan menyertai ekspo tersebut yang menampilkan pameran kerjaya, pendidikan serta peluang perniagaan dan jualan produk tempatan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, program LBAS kali ini menampilkan program baharu iaitu Sarawak Croc’s Tank yang memberi peluang kepada pelajar menyuarakan idea baharu menerusi pembentangan kertas kerja.

“Peserta akan membentangkan projek atau idea di hadapan panel juri untuk menonjolkan potensi dalam bidang inovasi dan kepimpinan, sekali gus memperkukuh semangat intelektual serta daya saing pelajar Sarawak melalui penyertaan aktif dalam sesi pembentangan dan perbincangan ilmiah,” jelasnya.

Hari ini, kira-kira 3,000 pelajar anak Sarawak akan bersama-sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam sesi Town Hall.

Acara kemuncak, iaitu Majlis Makan Malam LBAS 2025 pula berlangsung malam ini bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Tan Sri Abang Johari.