1,500 keluarga terjejas banjir di Sungai Buloh terima bantuan hampir RM1 juta

Datuk Seri R. Ramanan/ BERNAMA

SUNGAI BULOH, 14 November – Seramai 1,500 keluarga terjejas banjir di sini menerima bantuan kelengkapan rumah dan peralatan elektrik bernilai hampir RM1 juta bagi menyokong usaha mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa selepas banjir.

RINGKASAN BERITA AI
  • HRD Corp menerusi CSR bersama KESUMA sumbang kelengkapan rumah dan elektrik; setiap keluarga menerima bantuan kira-kira RM625.
  • Perdana Menteri umum bantuan tunai RM2,500 untuk berdaftar, RM1,250 bagi belum berdaftar; Kerajaan Negeri Selangor tambah RM500 di PPS.
  • Pengagihan diselaraskan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bersama ketua kampung, ahli majlis dan sukarelawan ke tujuh kawasan terjejas.
  • Penduduk alami banjir berulang sehingga enam kali; kerajaan cadang kolam takungan dan pendalaman sungai sebagai mitigasi sementara.

Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu melibatkan tujuh kawasan yang terjejas akibat banjir berulang sejak beberapa minggu lalu.

“Bantuan yang disediakan merangkumi barangan keperluan asas harian seperti ketuhar gelombang mikro, dapur gas, seterika, pengawal tekanan gas dan hos, cerek elektrik, periuk nasi, pengisar serta tong gas.

“Setiap keluarga dianggarkan menerima bantuan barangan bernilai hampir RM625 seperti yang dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Lee Chattyco, Datuk Syami, sebelum ini.

“Selain itu, kita juga tidak melupakan bantuan tunai RM2,500 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka yang telah berdaftar akan menerima jumlah penuh, manakala keluarga yang belum berdaftar tidak perlu bimbang kerana mereka tetap layak menerima bantuan sebanyak RM1,250,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program penyerahan Sumbangan Santuni Kasih MADANI di sini, hari ini.

Antara kawasan yang menerima bantuan ialah Kampung Melayu Subang, Kampung Kubu Gajah, Kampung Paya Jaras Kiri, Kampung Merbau Sempak, Kampung Sungai Pelong, Kampung Paya Jaras Tengah dan Kampung Paya Jaras Dalam.

Usaha pengagihan akan diselaraskan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bersama ketua-ketua kampung, ahli majlis dan pasukan sukarelawan bagi memastikan bantuan sampai kepada keluarga yang benar-benar terjejas.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor turut menyediakan bantuan tambahan RM500 kepada penduduk terjejas yang berdaftar ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Mengulas situasi banjir di kawasan itu, Datuk Seri R. Ramanan berkata terdapat penduduk yang terpaksa berdepan kejadian banjir berulang sehingga enam kali dalam tempoh kira-kira dua minggu, sekali gus menyukarkan usaha membersihkan dan memulihkan kediaman.

Sehubungan dengan itu, beliau berpandangan langkah mitigasi sementara termasuk pembinaan lebih banyak kolam takungan serta kerja-kerja pendalaman sungai akan dipertingkat sementara menunggu pelaksanaan projek tebatan banjir berskala besar disiapkan.

Perkara itu turut diberi perhatian Perdana Menteri yang mengarahkan tindakan segera dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir berulang, tanpa hanya bergantung kepada projek tebatan banjir jangka panjang.

Datuk Seri R. Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada HRD Corp serta pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh yang terus membantu penduduk, termasuk ketika sebahagian mangsa terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan dan membersihkan kediaman akibat banjir yang berlarutan.

Walaupun pelbagai bantuan disalurkan, ia tidak mungkin dapat menggantikan sepenuhnya kehilangan harta benda, khususnya barangan yang mempunyai nilai sentimental kepada penduduk terjejas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.