PM tiba di Manila ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49

Perdana Menteri berlepas ke Manila petang tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung hingga Selasa depan/Foto Facebook Anwar Ibrahim

MANILA, 14 November – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung esok hingga 17 Nov ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar dijadual hadir Sesi Pleno, permukiman dan sesi libat urus bersama AIPA, ASEAN-BAC serta wakil Belia ASEAN.
  • Pada Isnin beliau akan menghadiri sidang kemuncak bersama rakan dialog utama: China, PBB, Australia dan Korea Selatan.
  • Penyertaan memberi peluang mempengaruhi dasar serantau dalam politik, keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya serta memperkukuh hubungan dua hala.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada 8 malam.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Esok, Perdana Menteri dijadual menyertai Sesi Pleno dan Permukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 disusuli sesi libat urus pemimpin ASEAN bersama dengan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) serta wakil Belia ASEAN.

Pada Isnin, Anwar dijadual menghadiri siri sidang kemuncak ASEAN bersama dengan rakan dialog utama, iaitu China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Australia dan Korea Selatan.

Perdana Menteri kemudian dijadual berlepas pulang ke tanah air pada petang hari sama bagi menyambut lawatan rasmi Presiden Perancis Emmanuel Macron di Malaysia pada pagi 17 Nov sebelum kembali semula ke Manila pada sebelah petang.

Sekembalinya ke Manila, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat dan majlis makan malam rasmi yang dihoskan Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr.

Sepanjang ketiadaan Perdana Menteri pada 17 Nov, Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-29, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) ke-4, Sidang Kemuncak ASEAN bersama dengan Jepun dan India serta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-21.

Selain jadual persidangan yang padat, Anwar turut dijangka mengadakan beberapa siri pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara anggota ASEAN di sela-sela sidang kemuncak berkenaan.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani selain pegawai kanan kementerian serta agensi berkaitan.

Persidangan tahunan ini didahului dengan empat mesyuarat peringkat menteri hari ini termasuk Konsultasi Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara berhubung isu Myanmar.

Abdul Malik dalam sesi taklimat bersama dengan media Malaysia sebelum ini berkata penyertaan Perdana Menteri membolehkan Malaysia mempengaruhi dasar serantau dalam bidang politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.

“Sidang Kemuncak ini menyediakan platform strategik untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin Negara-Negara Anggota ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog sekali gus memupuk dialog mengenai cabaran bersama yang mendesak di samping memperkukuh hubungan dua hala yang utama,” katanya.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.