
MANJUNG, 14 November – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan sejak April tahun lalu berhubung dakwaan pengalihan cip kecerdasan buatan (AI) keluaran NVIDIA secara tidak sah.
- Siasatan meneliti dakwaan Malaysia menjadi hab transit bagi kegiatan penyeludupan cip terbabit.
- Kemungkinan penggunaan syarikat proksi untuk mendapatkan bekalan sebelum disalurkan ke China disiasat.
- Siasatan dijalankan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 dengan MITI sebagai agensi peneraju.
- Proses siasatan dianggap kompleks, memerlukan penelitian berlapis untuk mengumpul bukti kukuh.
Siasatan itu turut meneliti dakwaan Malaysia dijadikan hab transit bagi kegiatan penyeludupan cip berkenaan, termasuk kemungkinan penggunaan syarikat proksi untuk mendapatkan bekalan sebelum disalurkan ke China.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertindak sebagai agensi peneraju.
“Jadi, menjawab soalan pertama dahulu, apakah polis telah membuka kertas siasatan? Jawapannya, ya, seawal April 2025. Bila kata siasatan, kalau ada sebarang penemuan, kita akan kemas kini MITI sebagai agensi peneraju,” katanya.
Menurut beliau, siasatan berkenaan masih kompleks dan memerlukan penelitian berlapis bagi mengumpul bukti berhubung dakwaan pengalihan dan pemerolehan cip secara tidak sah.