123 klinik dinaik taraf di Johor, libat peruntukan RM62.2 juta

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon / Foto RTM

BATU PAHAT, 21 Ogos – Sebanyak 123 Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di Johor selesai dinaik taraf dalam tempoh tiga tahun menerusi peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjumlah RM62.2 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Naik taraf melibatkan peningkatan kemudahan dan keselesaan di fasiliti kesihatan.
  • Klinik Kesihatan Semerah diubahsuai daripada ruang sempit kepada lebih tersusun dan kondusif.
  • Kerajaan Negeri mengambil pendekatan melibatkan semua pihak untuk memperkukuh sistem kesihatan negeri.
  • Peruntukan RM2 juta bagi enam ambulans ditempatkan di Kota Tinggi, Tangkak, Batu Pahat, Mersing dan Hospital Sultanah Aminah.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja naik taraf melibatkan usaha mempertingkatkan kemudahan dan keselesaan di fasiliti kesihatan.

“Salah satunya ialah Klinik Kesihatan Semerah yang mana dahulu ruang sempit, kurang tersusun dan kurang kondusif. Kini klinik sudah berubah (bertambah baik).

“Ini menunjukkan sistem kesihatan khususnya di negeri ini sedang dinaik taraf secara berperingkat demi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Johor mengambil pendekatan semua pihak dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Ambulans di Klinik Kesihatan Semerah, Batu Pahat.

Ling Tian Soon berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi menyediakan enam ambulans baharu untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan negeri.

Ambulans berkenaan akan ditempatkan di Kota Tinggi, Tangkak, Batu Pahat dan Mersing, manakala dua lagi akan diperuntukkan kepada Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.