
KANGAR, 14 April- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 1,103 kes kebakaran terbuka di Perlis bagi tempoh suku pertama Januari hingga Mac dalam tempoh tiga tahun bermula 2024 hingga 2026.
- Kes kebakaran meningkat: 440 pada 2024, 162 pada 2025, melonjak kepada 601 pada 2026.
- Peningkatan 58 peratus bagi 2026 berbanding 2025; JBPM bimbang terutama ketika cuaca panas dan kering.
- Kebakaran melibatkan kebun, lalang, hutan, belukar dan sampah; belukar dan lalang mencatat 565 kes sehingga Mac 2026.
- JBPM menasihatkan orang ramai mengelakkan pembakaran terbuka yang tidak terkawal untuk mencegah kebakaran merebak.
Daripada jumlah itu, sebanyak 440 kes direkodkan pada 2024, menurun kepada 162 kes pada 2025, namun meningkat mendadak kepada 601 kes pada 2026, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata trend kes kebakaran terbuka di Perlis menunjukkan peningkatan 58 peratus bagi tahun 2026 berbanding 2025 dan ia amat membimbangkan khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering.
Beliau berkata kebakaran yang direkodkan melibatkan kawasan kebun, lalang, hutan, belukar dan sampah, dengan kebakaran belukar dan lalang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 565 kes sehingga Mac 2026.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal. Ia perlu dielakkan kerana ia boleh menjadi tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji 2025 di Ibu Pejabat JBPM Perlis di sini.
Pada majlis itu, seramai 46 pegawai dan anggota JBPM Perlis menerima anugerah kecemerlangan bagi tahun 2025.
Daripada jumlah itu, 20 menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, enam Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan 20 Sijil Perkhidmatan Terpuji, yang disampaikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Ibu Pejabat JBPM Negeri Perlis.