100 projek perumahan “sakit” swasta berjaya dipulihkan

(Foto fail)

SEREMBAN, 13 Jun- Sebanyak 100 projek perumahan swasta dalam kategori sakit di seluruh negara berjaya dipulihkan oleh Pasukan Bertindak Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hingga 30 April lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kesemua projek berkenaan termasuk sembilan projek PR1MA telah menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

“Bawah PR1MA ada 17 projek sakit tetapi kita berasa amat bersyukur setakat hari ini sebanyak sembilan projek telah berjaya kita selamatkan dan serahkan kunci. Bakinya menjelang akhir tahun depan atau suku keempat 2024 siap semua, tidak ada lagi mana-mana projek sakit bawah PR1MA,” kata Nga di Majlis Penyerahan Kunci Residensi Seremban Sentral, di sini.

Tambahnya, dua lagi projek PR1MA di Negeri Sembilan yang sedang dibangunkan iaitu Residensi Rantau dan Residensi Port Dickson yang melibatkan sebanyak 1,425 unit rumah mampu milik dijangka disiapkan pada suku keempat tahun ini.

Projek Residensi Seremban Sentral telah menerima CCC pada 31 Mei lalu daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Setakat 31 Mei 2023, sebanyak 890 unit atau 59% daripada julmlah keseluruhan 1,504 unit pangsapuri telah terjual.

(Nga Kor Ming berkata 100 projek perumahan “sakit” swasta berjaya dipulihkan/File foto)

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.