PUTRAJAYA, 8 November - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan usaha merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 dengan tumpuan 10 lonjakan strategik bagi menangani isu serta cabaran dalam pendidikan tinggi.
Lonjakan strategik tersebut dibentang dalam siri mesyuarat Jawatankuasa PPPTM yang dipengerusikan oleh Pengerusi Kumpulan Pakar, Profesor Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail.
KPT dalam satu kenyataan memaklumkan, antara elemen dicadangkan termasuk faktor ekonomi masa hadapan, faktor permintaan pasaran dan keberhasilan penyelidikan pendidikan tinggi.
Mesyuarat itu diadakan sebagai medium untuk Kumpulan Pakar membentangkan Laporan Interim PPPTM 2026-2035 khusus dalam membincangkan perkembangan semasa pembangunan rangka tindakan.
Sehingga Oktober, Kumpulan Pakar telah melaksanakan 31 sesi libat urus membabitkan lebih 5,000 pemegang taruh.
Selain itu, hampir 2,000 maklum balas tinjauan nasional diterima untuk mengenal pasti cabaran utama dalam sektor ini.