
KUALA LUMPUR, 28 Jun – Pengundi muda disaran untuk memanfaatkan sepenuhnya hak serta tanggungjawab untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan nanti.
- Harapan meningkatnya peratusan keluar mengundi dari 55% kepada 70-75% sebagai tanda keseriusan rakyat menjalankan tanggungjawab.
- Strategi meletakkan calon muda tepat pada masanya kerana pemimpin muda menjadi pemacu politik masa depan.
- Risau jika pengundi muda tidak turun mengundi, hasrat parti mengetengahkan calon muda tidak tercermin di kertas undi.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mazlan Che Soh berkata rakyat khasnya generasi muda memainkan peranan yang cukup besar sebagai penentu masa depan sekali gus memastikan sistem demokrasi terus subur di negara ini.
“Kalau kita tengok pada PRN yang lepas adalah 55 peratus. Jadi kita harap kalau boleh pada kali ini sokongan yang mencapai 70 – 75 peratus jadi maknanya rakyat ambil peluang yang sangat serius dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Menurutnya, strategi meletakkan calon-calon muda pada PRN Johor kali ini adalah tepat berlandaskan keyakinan bahawa pemimpin muda merupakan pemacu politik negara pada masa akan datang.
Berdasarkan demografi, Johor merekodkan lebih 600,000 pengundi muda berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun manakala hampir 2 juta yang lain berada dalam lingkungan usia 20 hingga 30 tahun.
“Saya berpendapat bahawa meletakkan calon yang muda ini sebenarnya satu perkara sangat tepat pada masanya.
“Saya khuatir sekiranya pengundi-pengundi muda ini tak turun mengundi, ia tidak menterjemahkan hasrat parti yang bertanding untuk mengetengahkan calon-calon muda di dalam bentuk kertas undi ataupun membuat keputusan di kertas undi,” katanya.